Patriotisme Bukan Hanya Di Medan Perang


Patriotisme itu bukan sekadar gambaran tentang perajurit yang bertempur di medan peperangan. Patriotisme juga merangkumi pengorbanan dan kesungguhan para atlet dalam bidang sukan. Mereka mewakili seluruh warga yang menghuni tanah air dalam memartabatkan nama negara yang tercinta. Walaupun pada hakikatnya mereka bukanlah pergi berperang dengan senjata namun jasa mereka tetap perlu dikenang.


Begitu ramai atlet negara kita yang telah berjasa menaikkan serta memahat nama negara di puncak dunia. Antara yang konsisten di waktu semestinya Dato' Nicole Ann David dan Dato' Lee Chong Wei. Kejayaan mereka dalam bidang sukan masing-masing telah berjaya membuka mata dunia bahawa warga Malaysia juga berpotensi untuk digeruni. Dan yang paling penting adalah sikap kita sebagai rakyat yang bertoleransi untuk memberi sokongan dengan sepenuh semangat yang patriotik.

Sikap patriotik dalam arena sukan perlu diteruskan walaupun pejuangnya tumpas di medan tempur. Barulah dinamakan bersemangat. Terkadang ada juga yang luntur semangat tika pasukan yang mewakili negara tewas di tangan musuh. Seharusnya perkara ini tidak berlaku jika kita betul mempunyai jiwa patriotisme yang tinggi dalam diri.

Oleh itu seharusnya kita terus bersikap patriotik walau dalam apa bidang dan situasi sekalipun. Andai kejayaan yang diperoleh ia adalah kebanggaan. Andai tewas sekalipun masih lagi menjadi kebanggaan. Bukan semua orang dapat mengaplikasikan semangat patriotik yang sebenarnya dalam diri. Yang penting adalah mentaliti patriotisme perlu disematkan dalam diri seluruh warga Malaysia sebagai tanda kecintaan kita kepada tanah tumpah darah ini. Sekian.

p/s : Pasukan bolasepak negara kita semakin dikenali dan digeruni. Terus memberikan sokongan dan harapan agar nama Malaysia semakin gah di mata dunia.

1 comment:

faizalnizam said...

patriotisme juga boleh diukur melalui sumbang dalam ekonomi, pendidikan dan politik :) byk cara untuk membuktikan patriotisme.