Assalamualaikum… Salam sejahtera 1 Malaysia hendaknya buat pembaca dan warga blogger khususnya. Rasa syukur yang teramat kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih diberi ruang untuk bernafas menghirup udara kemakmuran tanah air Malaysia. Seharusnya kita mengenang rentetan sejarah yang terlakar di sebalik keamanan yang kita kecapi kini. Penjajahan dari aspek jasmani telah berjaya di harungi oleh pejuang kemerdekaan berdekad yang lalu. Tetapi penjajahan dari sudut rohani dan psikologi semakin hari semakin tinggi kadar statistiknya.
Coretan kali ini ingin menyingkap tentang bias persepsi yang menjadi dorongan secara dasarnya namun menjadi penghalang untuk mengubati sindrom penjajahan. Dari paparan biasan kita mampu melihat keindahan setiap detik yang dilalui selepas tarikh keramat 31 Ogos. Kebebasan yang mengubah setiap corak dan langkah dalam menerobos arus pembangunan. Kepesatan sektor ekonomi menjadi tunjang dalam merealisasikan ilham sebenar kemerdekaan. Kemajuan teknologi maklumat menerajui sektor media.
Namun di sebalik setiap kemajuan yang dikecapi terpalit kemerosotan dari segi tuntutan rohani. Dewasa ini pelbagai kisah dalam rencah kehidupan dipaparkan melalui slot drama dan juga penerbitan filem. Mungkin nilai positifnya mungkin memberi kesan kepada penonton tetapi adakah si pelakonnya mampu membebaskan diri daripada terus bersikap sarkastik? Fenomena dalam dunia lakonan semestinya peka dalam penghayatan watak yang dibawa. Realitinya, aku tetap aku. Biasan yang dipertontonkan sebenarnya membawa kesan keinsafan namun jika dinilai dari perspektif berbeza, lakonan tetap sekadar lakonan.
Yang jelas bahawa pengertian merdeka itu sendiri membawa maksud bebas. Mentaliti sudah disemat dengan pemahaman yang bebas sehingga setiap perkara itu seharusnya tiada larangan untuk dilakukan. "Tak tumbuh tak melata, kalau tak sungguh orang tak kata". Renungi agenda sambutan ulangtahun kemerdekaan setiap tahun. Saat yang berjiwa bangsa meraikan dengan penuh keprihatinan pastinya ada segelintir yang meraikan di sebalik rimbunan. Pesta yang dicanang oleh orang asing itu menjadi agenda terlarang. Jajahan pengaruh yang tidak dapat ditangkis malahan semakin memberi tekanan. Terlalu besar anjakan paradigma yang dirasai sehingga diri hanya mampu menyerah kalah dengan desakan hati.
Dalam mencari preskripsi yang menjurus ke arah resolusi, remaja kini semakin jauh hanyut dengan rela mengikuti arus revolusi. Ketamadunan bukan lagi dihitung dari sudut budaya dan agama tetapi tamadun trend terkini yang menjadi pegangan.
Sisipan bias persepsi berakhir di sini buat seketika. Soalan yang ditinggalkan tanpa tanda soal adalah "Siapa yang perlu dipersalahkan..."
Semoga dipanjangkan usia untuk kita bertemu lagi dalam sesi coretan seterusnya.
1 comment:
anak muda sekarang sudah rusak
Post a Comment