Setiap negara mempunyai suatu jata (emblem) yang menjadi lambang keutuhan penubuhannya sebagai paparan simbolik. Begitu juga dengan tanah air yang kita cintai, Malaysia. Setiap imej membawa pengertian yang melambangkan tentang sistem pemerintahan di Malaysia. Jata Negara (National Emblem) ini sebenarnya membawa maksud tentang penyatuan serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.
Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
